Rahsia Cuci Berus Botol Susu Anak Menggunakan Cuka.

Bila anak selesai sahaja minum susu, apa yang anda perlu lakukan adalah untuk mencuci botol susu tersebut. Selalunya, proses mencuci botol susu turut melibatkan penggunaan berus pencuci yang khas untuk mencuci botol dengan bersih. Namun, sedarkan anda selama ini dimana berus botol itu juga perlu dicuci dengan sebersihnya? Haa, jangan ingat nak cuci botol susu sahaja kerana kerak-kerak susu pun akan melekat di berus kalau tidak dijaga dengan betul. Jom kita ikut cara yang betul untuk mencuci berus botol susu menggunakan cuka!

BERUS BOTOL PERLU DIBASUH?
Baru-baru ni saya berkesempatan join forum geng mak-mak. Dah nama pun mak-mak, macam-macam petua & tips untuk anak keluar. Salah seorang ahli timbulkan isu berus botol susu. Sebenarnya saya agak terkejut juga, dalam ramai-ramai ahli tu, lebih dari separuh tak pernah dan tak tahu pun perlu bersihkan berus botol susu anak. Ada yang anak dah 2-3 pun tak pernah basuh berus botol & boleh sambung je guna berus untuk anak seterusnya sebab beli berus botol jenama mahal & masih elok lagi.

Selain botol susu & komponen-komponennya (puting, ring, dll), berus botol juga perlu dijaga kebersihannya terutama berus botol jenis berspan. Segala saki baki & kerak susu akan melekat/termendap pada pangkal berus & span kalau tak dicuci dengan bersih. Kekotoran tu lama-lama akan jadi punca pembiakan bakteria pulak. Berus botol tu dah la digunakan hari-hari untuk cuci botol susu anak.. Macam mana nak basuh botol anak dengan bersih kalau berus yang digunakan pun tak bersih.

Selalunya, mak-mak tukar berus botol bila dah rosak je kan? Jenis berspan, biasanya mak-mak akan tukar bila span dah mula rosak/tercabut. Bagi berus yang berjenama & berkualiti, dah tentulah boleh bertahan/diguna lebih lama.. Bukan isu harga, tapi ini tentang kebersihan. Berus botol mahal atau murah, kedua-duanya perlu dibersihkan supaya ianya selamat digunakan untuk mencuci botol susu anak.

Bukan setakat berus berus botol sahaja, berus kecil untuk puting, berus untuk straw, berus khas (untuk valve pada puting, dsbnya) & berus gigi anak juga perlu dibersihkan sekurang²nya seminggu sekali. Saya gunakan 2 berus botol, satu untuk kegunaan harian di rumah & 1 lagi khas untuk travel sahaja. Berus botol untuk dibawa travel & berus untuk straw (jarang guna) saya bersihkan bila perlu sahaja (lepas selesai guna & sebelum simpan). Walaupun dibersihkan, berus botol tetap kena tukar bila sampai masanya. Saya gunakan berus botol jenis tak berspan & tukar berus baru bila berus semakin mengembang.

Caranya Seperti berikut :
Air panas menggelegak. Sedikit sabun pencuci botol. Cuka* (optional). Bekas untuk merendam berus. Berus gigi baru (saya gunakan berus gigi murah² yang dibeli khas untuk bersihkan berus botol sahaja)

CARA MEMBERSIHKAN BERUS BOTOL (TERMASUK JUGA BERUS GIGI)
Masukkan air panas menggelegak ke dalam bekas yang bersesuaian. (pastikan berus terendam sepenuhnya)

Tambahkan sedikit cuka. (saya gunakan 1 bahagian cuka & 5 bahagian air)

Masukkan sedikit sabun pencuci botol.

Gunakan berus botol untuk kacau larutan tadi. Biarkan berus terendam sepenuhnya 5-10 minit.

Gunakan berus gigi yang baru, gosok dibahagian pangkal & dicelah² berus untuk tanggalkan kekotoran & segala mendapan.

Basuh bersih & keringkan.

NOTA PENTING
Cuka bukan sahaja bertindak memudahkan kotoran tertanggal tapi juga boleh membasmi kuman .Jika tiada cuka, boleh juga bersihkan berus botol gunakan air panas & pencuci botol sahaja. Disarankan guna larutan cuka ni sekurang-kurangnya sebulan sekali atau bagi mak-mak yang pertama kali bersihkan berus. Untuk berus gigi anak saya rendam berasingan. Bukan setakat berus gigi anak kecil, tapi berus gigi orang dewasa pun boleh guna cara ni (berus gigi perlu ditukar 3 bulan sekali).

Sumber : Yatie Eimra