Kenapa Tidak Ada Payung Terjun Untuk Penumpang Pesawat Komersial? Mungkin Jawapan Ini Membuatkan Anda Berfikir Sejenak

Terbaru, kes kemalangan melibatkan pesawat Lion Air Indonesia yang meragut nyawa kesemua penumpang baru-baru ini mengejutkan ramai pihak. Walaupun pengangkutan udara dikatakan mod pengangkutan paling selamat, namun bencana yang berlaku seringkali melibatkan nyawa yang besar. Bukan Indonesia sahaja, malah negara kita sendiri pun pernah berhadapan dengan tragedi yang sama.

Salah satu pertanyaan yang mungkin bermain di fikiran anda, termasuk SK, kenapa tak disediakan payung terjun untuk penumpang kalau-kalau (moga-moga dijauhkan) terjadi bencana di udara? Mungkin ada yang pernah melihat bentuk pesawat pengangkut tentera yang menyerupai pesawat komersial yang selalu digunakan oleh askar-askar untuk menjalani latihan terjun payung terjun kan?

Sebenarnya, terdapat banyak alasannya kenapa pesawat komersial tidak disediakan payung terjun dan kami senaraikan untuk anda di bawah.

Perlukan Latihan Mengendali Payung Terjun

Ini adalah alasan paling utama kenapa tiada payung terjun disediakan untuk penumpang. Latihan. Perkara yang perlu anda tahu, pesawat komersial digunakan untuk mengangkut orang awam, bukannya anggota tentera yang majoritinya mungkin ada pengalaman mengendalikan payung terjun.

Malah, anggota tentera sendiri pun tidak terus ke langit biru untuk melakukan latihan terjunan, inikan orang awam dalam masa yang getir tiba-tiba mahu diberikan payung terjun dan diarahkan terjun daripada pesawat. Bayangkan apa yang boleh terjadi dalam suasana panik sebegitu.

Orang awam tidak dilatih untuk melakukan terjunan kecemasan, apatah lagi tidak tahu untuk mendarat dengan selamat menggunakan payung terjun. Malah, asas untuk semua ahli payung terjun adalah menjalani latihan di darat terlebih dahulu untuk satu jangka masa yang lama. Untuk lompatan statik sahaja, penerjun-penerjun ini perlu menjalani latihan di darat diantara 4 hingga ke 5 jam.

Itu belum lagi teknik-teknik lain contohnya cara membuka payung terjun dan kedudukan selamat diantara satu penerjun dengan penerjun lain sebelum membuka payung terjun.

Ketinggian penerbangan pesawat komersial

Katakanlah, anda seorang ahli payung terjun dan kebetulan berada di dalam pesawat komersial yang sedang berhadapan masalah, anda sebenarnya tetap tidak dapat menyelamatkan diri disebabkan faktor ketinggiaan pesawat komersial terbang.

Pesawat komersial biasanya terbang pada ketinggian sekitar 35 ribu kaki (10.67 km) daripada bumi. Menurut pakar, terjunan udara yang dilakukan pada ketinggian melebihi 18 ribu kaki (5.49 km) adalah satu terjunan yang sangat-sangat berbahaya.

Mana-mana terjunan yang dilakukan pada ketinggian melebihi 15 ribu kaki (4.57 km), penerjun memerlukan topeng oksigen untuk bertahan memandangkan pesawat tentera tidak mempunyai sistem tekanan udara yang sama dengan pesawat komersial. Jika anda terjun pada ketinggian 35 ribu kaki tanpa bantuan alat oksigen, risiko tinggi untuk anda pengsan di udara dan tidak sedar sehinggalah anda terhempas di bumi. Jadi tak guna jugalah sekiranya anda berjaya keluar daripada pesawat yang terhempas hanya semata-mata untuk pengsan di udara.

Suhu membunuh

Satu lagi halangan untuk penumpang-penumpang pesawat komersial untuk melakukan terjunan pada altitude tinggi adalah suhu luar pesawat yang membunuh.

Pada ketinggian 35 ribu kaki, suhu di luar pesawat jatuh di bawah paras beku iaitu dianggarkan sekitar -35 darjah celcius dan ada kemungkinan untuk menjadi lebih sejuk.

Saintis berpendapat bahawa sangat berbahaya untuk tubuh badan manusia terdedah pada suhu sedemikian rupa. Bahagian mulut, mata, muka dan hidung boleh membeku dengan sekelip mata. Malah, bahagian paru-paru anda juga berkemungkinan boleh meletup pada suhu tersebut.

Kelajuan pesawat membelah langit

Okay, mungkin ada yang menjawab, tak boleh ke tunggu pesawat turunkan ketinggian pada satu kedudukan yang membolehkan penumpang terjun dengan selamat?

Biarpun berada pada ketinggian yang sesuai, faktor pesawat yang bergerak pada kelajuan yang tinggi turut menjadi penghalang, barangkali sehingga tahap membunuh anda pula.

Dengan setiap pesawat penumpang terbang pada kelajuan hampir 500 knot atau 926 kmj, bayangkanlah impak ke atas badan anda saat anda keluar daripada kenderaan yang memecut pada kelajuan tersebut secara tiba-tiba. Malah, untuk kelajuan melebihi 130 knot (240 kmj), penerjun boleh berhadapan dengan risiko kecederaan yang tinggi sehingga boleh membawa maut.

Binaan pesawat komersial yang berbeza

Pesawat yang digunakan untuk membuat terjunan udara mempunyai pintu khas untuk melompat keluar. Malah, sesetengah pesawat langsung tidak mempunyai pintu. Berbeza dengan pesawat awam yang pintunya perlu sentiasa ditutup ketika di udara.

Biarpun ada pintu kecemasan pada pesawat, pintu berkenaan tidak mungkin akan boleh dibuka ketika di udara.

Faktor ekonomi

Bagi syarikat penerbangan yang berasaskan perniagaan, faktor ekonomi (untung dan rugi) adalah perkara yang perlu diberi keutamaan sebelum membuat sebarang keputusan. Untuk menyediakan payung terjun kepada semua penumpang mencecah ratusan orang, bukanlah satu keputusan perniagaan yang bijak.

Satu lagi, payung terjun sebenarnya mempunyai berat yang besar iaitu diantara 6 hingga 18 kilogram. Bayangkanlah untuk pesawat yang mampu membawa lebih daripada 200 penumpang, berat tambahan yang perlu dibawah mungkin melebihi 1000 kilogram.

Berat yang bertambah, bermakna pesawat menggunakan lebih banyak bahan bakar untuk berlepas dan ketika di udara. Akhirnya, semua peningkatan kos ini kembali semula kepada anda sebagai penumpang dalam bentuk kenaikkan harga tiket.

Bukan sahaja berat bertambah, ruang kabin pesawat juga mungkin terpaksa diubah bagi menempatkan payung-payung terjun ini. Kita mengharapkan ada penyelesaian yang lebih baik untuk para penumpang di masa hadapan, namun ketika ini, terjun daripada pesawat penumpang menggunakan payung terjun bukanlah satu idea yang logik.

Jadi, itulah serba sedikit jawapan mengapa pesawat komersial tidak mempunyai payung terjun untuk penumpang-penumpangnya.

Sumber : CN Traveler via siakap keli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *