Adegan pelik pada waktu malam, Rupa-rupanya ada dua pokok petai ‘menangis’

KOTA BHARU – Bukan satu, tapi dua kejadian pokok petai ‘menangis’ berlaku di Kampung Petani, Sering, di sini, semalam.

Kejadian pokok kedua yang mengeluarkan titisan air seperti hujan renyai-renyai itu disedari pada jam 10 malam.

Pohon petai kedua terbabit terletak di tepi jalan hadapan sebuah rumah penduduk dan berada dalam jarak kira-kira 700 meter dari pokok pertama yang disedari mengalami fenomena sama sehingga tular.

Seorang penduduk, Mohd Amierin Mohd Rashid, 25, berkata, dia sebelum itu dimaklumkan oleh beberapa penduduk yang mendakwa kejadian aneh itu mula berlaku pada Jumaat lalu.

“Seorang jiran memaklumkan pokok itu turut mengeluarkan air seperti hujan renyai-renyai seperti kejadian sebatang pokok yang tular sebelum ini.

“Sejak disedari berlaku, pokok petai di hadapan rumah saya ini pula menjadi tumpuan orang ramai. Pokok petai ini sudah berada di situ sejak lebih 25 tahun lalu,” katanya ketika ditemui, di sini lokasi itu, semalam.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian malam tadi mendapati pokok kedua tersebut menitiskan lebih banyak air berbanding pokok pertama yang semakin kurang titisan air berbanding sebelum ini.

KOTA BHARU – Sebatang pokok petai berusia 30 tahun di Kampung Petani, Sering di sini, seakan-akan ‘menangis’ apabila menitiskan air jernih umpama hujan renyai sejak minggu lalu.

Kejadian pelik bermula jam 8 malam hingga 6 pagi turut menarik perhatian penduduk setempat dan orang ramai yang datang ke lokasi untuk menyaksikan sendiri keanehan itu.

Seorang penduduk dikenali sebagai Ayah Long, 59, berkata, kejadian pokok petai ‘menangis’ itu disedari seorang penduduk yang lalu di jalan bersebelah pokok itu ketika pulang dari surau selepas mengerjakan solat Isyak, Isnin lalu.

“Pada mulanya, penduduk memaklumkan kepada saya paip bocor dan saya bawa lampu suluh untuk lihat sendiri keadaan di hadapan rumah saya itu, tapi semasa berada di bawah pokok, saya terasa seperti terkena hujan renyai.

“Apabila hala lampu ke atas, nampak air jatuh dari dahan dan daun pokok itu. Kejadian mula heboh dan ramai yang datang untuk melihat pokok petai ‘menangis’ ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Kanak-kanak Kampung Petani memegang botol yang mengandungi air dari pokok petai itu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk juga penyampai radio KELANTANfm, Azidi Abdullah, 26, berkata, kejadian hanya dapat dilihat bermula waktu malam selepas Maghrib dan rintik air tersebut mula berhenti menjelang Subuh.

“Pada waktu siang begini kita akan dapat lihat tompokan air di atas jalan dan dahan pokok yang masih basah seolah-olah disiram air.

“Saya sendiri berasa pelik dan datang melihat sendiri kejadian ini. Ramai yang mula datang menadah air berkenaan untuk dibawa pulang, ada juga yang minum, membasuh muka dan mandi air yang berbau petai itu,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *