‘Pinjam RM10 ribu, bayar balik RM10 ribu’ – Kerajaan Terengganu lancar Tabung Usahawan Sejahtera

KUALA TERENGGANU – Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Terengganu semalam merupakan tabung patuh syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata, TUGAS yang dikelolakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan memberi pinjaman kepada usahawan tanpa mengenakan sebarang caj dan faedah.

Jelasnya, pinjaman yang diberikan kepada semua peringkat usahawan yang layak itu bermula daripada usahawan kecil sehinggalah usahawan skala besar tidak akan membebankan peminjam seperti pinjaman lain yang mempunyai caj atau kadar faedah.

“Kita memberi pinjaman (kepada usahawan) yang berbentuk patuh syariah.

“Kita tidak mengenakan sebarang kadar faedah kepada mereka ini (usahawan), pinjam RM10,000, bayar RM10,000, pinjam RM30,000, bayar RM30,000,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tabung Usahawan Sejahtera di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Hilmi Harun, serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Anuar Awang.

‘Pinjam RM10 ribu, bayar balik RM10 ribu’ – Kerajaan Terengganu lancar Tabung Usahawan Sejahtera

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah YPU turut menyampaikan replika cek kepada usahawan-usahawan yang berjaya memohon Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Skim Pinjaman Bisnes Online (SPBOL).

Inisiatif di bawah kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu akan memberi manfaat kepada usahawan-usahawan dengan bantuan pinjaman bermula RM1,000 sehingga RM30,000.

Dana daripada kerajaan negeri sebanyak RM 15 juta itu merupakan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya yang dianggarkan sekitar RM5 juta diberikan kepada YPU.

Penubuhan sebanyak 32 cawangan YPU di setiap Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula akan memudahkan para usahawan supaya tidak ketinggalan untuk mendapatkan maklumat terus berkaitan perniagaan.

TUGAS merupakan salah satu daripada 20 manifesto yang dijanjikan oleh PAS Terengganu pada Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu, dalam usaha merealisasikan hasrat untuk mencapai negeri Maju, Berkat dan Sejahtera. Via isu viral

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *